Tuesday, September 17, 2019

GKK1043 Penulisan Refleksi


Rajah 1.0 Piramid Aktiviti Fizikal

           Kecergasan dapat didefinisikan sebagai suatu keadaan yang sihat yang memboleh-kan individu melakukan aktiviti harian dengan bertenaga, mengambil bahagian dalam kepelbagaian aktiviti fizikal dan mengurangkan risiko masalah kesihatan (Sarkuna Devi, et. al., 2012). Manakala berdasarkan Badan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan ialah satu tahap atau keadaan di mana seseorang individu itu mempunyai kesejahteraan yang sempurna dari segi ­ fizikal, mental dan sosial dan bukan semata-mata bebas dari penyakit atau tidak berdaya. Setelah mempelajari kursus GKK1043, saya bertambah jelas terhadap definisi sebenar kesihatan dan kecergasan.

            Kami dikehendaki untuk melakukan pre-test dan post-test untuk aktiviti SEGAK dan Bleep Test. Semasa pre-test, berat saya ialah 86.8kg dan tinggi saya ialah 1.63m. BMI saya, iaitu 32.67, berada pada obese tahap I. Semasa post-test, berat saya ialah 87.2kg dan tinggi saya ialah 1.63m. BMI saya, iaitu 32.82, masih berada pada obese tahap 1. Hal ini menyedarkan diri saya bahawa saya perlu mengurangkan berat badan untuk mencapai tahap indeks komposisi badan (BMI) yang normal.

            Untuk aktiviti naik turun bangku, kadar denyutan nadi saya ialah 154 bagi pre-test dan 165 bagi post-test. Hal ini menunjukkan bahawa daya tahan kardiovaskular badan saya perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Berdasarkan rajah 1.0, aktiviti seperti naik tangga perlu dilakukan setiap hari untuk meningkatkan daya tahan kardiovaskular badan kita.

            Seterusnya, bagi aktiviti tekan tubi, markah saya bagi pre-test ialah 13, manakala untuk post-test ialah 16. Hanya terdapat sedikit peningkatan, tetapi saya tahu, saya perlu melakukan lebih banyak aktiviti untuk meningkatkan kekuatan otot dan daya tahan otot saya. Hal ini melibatkan otot triceps, biceps serta pectoralis major. Berdasarkan rajah 1.0, aktiviti tekan tubi sewajarnya dilakukan 2 hingga 3 kali seminggu.

            Selain itu, bagi aktiviti ringkuk tubi separa, markah saya ketika pre-test dan post-test adalah sama iaitu 14. Tidak terdapat sebarang peningkatan dan hal ini sangat menyedarkan saya bahawa saya perlu melakukan lebih banyak aktiviti untuk menguatkan daya tahan otot abdominis, trapezius dan deltoid kerana saya agak lemah. Berdasarkan rajah 1.0, aktiviti seperti ringkuk tubi separa perlu dilakukan sebanyak 2 hingga 3 kali seminggu.

            Di samping itu, untuk aktiviti jangkauan melunjur, markah saya bagi pre-test ialah 31 dan bagi post-test ialah 33. Terdapat peningkatan sebanyak 2, namun hal ini masih tidak memuaskan hati saya. Saya perlu melakukan lebih banyak aktiviti untuk meningkatkan fleksibiliti dan daya kelenturan sendi saya. Berdasarkan rajah 1.0, aktiviti fleksibiliti juga dilakukan sebanyak 2 hingga 3 kali seminggu.

            Untuk Bleep Test pula, saya menunjukkan corak peningkatan iaitu daripada Level 2.5 kepada Level 3.1. Hal ini membuktikan bahawa daya tahan kardiovaskular badan saya telah meningkat dari pre-test hingga post-test.

            Kesimpulannya, jelaslah bahawa markah saya bagi beberapa aktiviti ketika post-test menunjukkan sedikit peningkatan. Saya akan menggunakan Piramid Aktiviti Fizikal sebagai panduan harian. Pada masa akan datang, saya akan berusaha untuk kekal aktif dan cergas agar kesihatan diri saya lebih terjamin. 


Rujukan

Artikel
Sarkuna Devi, Normah Nordin & Thillainathan Krishnan. (2012). Pengenalan Kecergasan. Diperoleh dari http://www.myhealth.gov.my/pengenalan-kecergasan/
Web

No comments:

Post a Comment